Monday, August 30, 2010

WAKTU & TANDA-TANDA KEDATANGAN LAILATULQADAR

Ibnu Umar menyatakan yang ada beberapa orang sahabat nabi bermimpi Lailatul Qadar datang pada tujuh malam terakhir Ramadan. Rasulullah berkata, "Aku juga melihat tanda yang sama dengan kalian. Oleh sebab itu siapa yang menginginkan Lailatul Qadar, perolehinya pada tujuh malam terakhir."
Lailatul Qadar mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam. Malam itu diakui lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat termasuk Jibril turun bagi mengatur segala urusan. Malam itu penuh dengan kesejahteraan sehingga terbit fajar.
Sama seperti kematian, Lailatul Qadar juga dirahsiakan kehadirannya oleh Allah. Ini supaya manusia menggunakan seluruh waktunya beribadah dan mengingati Allah.
Rekod Muslim menyatakan Lailatul Qadar jatuh pada tujuh malam terakhir sedangkan rekod Bukhari menyatakan ia jatuh pada malam ketujuh dan ada yang mengatakan 10 malam terakhir.
Dalam hadis yang direkodkan Ali, Rasulullah berkata,
"Rebutlah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Apabila kalian kehilangan hari-hari sebelumnya, jangan pula kalian terlepas malam-malam terakhir itu."
Ibnu Umar merekodkan Rasulullah berkata,
"Rebutlah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Apabila kalian berasa lemah ataupun tidak mampu melaluinya, maka jangan pula kalian kehilangan tujuh malam terakhir."
Sebahagian ulama berpendapat Lailatul Qadar jatuh pada malam 22 dan terakhir jatuh pada malam ke 28. Ini berdasarkan hadis yang direkodkan Bukhari daripada Ibnu Abbas. Rasulullah berkata "Rebutlah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Namun Lailatul Qadar itu jatuh pada malam dengan bilangan ganjil."
Daripada hadis yang berbeza, lahirlah pendapat ulama yang pelbagai. Direkodkan terdapat tidak kurang daripada 40 pendapat berbeza perihal tarikh Lailatul Qadar.
Apa pun, Lailatul Qadar mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak dapat kita kenali kecuali selepas malam itu berlalu. Salah satu keistimewaan itu adalah matahari terbit seperti biasa tetapi tidak memancarkan cahaya yang redup. Matahari tidak bersinar terang seperti biasa pada hari sesudah Lailatul Qadar.
Ini berdasarkan hadis daripada Zur Bin Hubaisy. Beliau berkata, saya mendengar Ubay bin Kaab menyatakan, "Orang yang bangun di tengah malam selama setahun, beliau menemui Lailatul Qadar." Ayahku berkata, "Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia. Lailatul Qadar itu terdapat pada bulan Ramadan.
Demi Tuhan, aku mengetahuinya. Malam manakah itu? Ia malam di mana Rasulullah memerintahkan kita bangun beribadah. Malam itu adalah malam ke 27, yang ditandai dengan terbitnya matahari berwarna putih bersih dan tidak bercahaya seperti biasa."
Direkodkan daripada Ibnu Khuzaimah,
"Sewaktu Lailatul Qadar meninggalkan kita, bumi tidak terasa dingin ataupun panas dan matahari terlihat berwarna merah pudar."
Ahmad merekodkan,
"Pada hari itu tidak terasa panas ataupun dingin, dunia sunyi dan rembulan bersinar."
Malam Lailatul Qadar bukanlah malam yang penuh dengan bintang yang bersinar sebagaimana disangka ramai orang. Namun Lailatur Qadar adalah malam yang mempunyai tempat khusus di sisi Allah. Setiap muslim dianjur mengisi malam itu dengan ibadah dan mendekatkan diri padanya.
Imam Tabari menyatakan, "Tersembunyi Lailatur Qadar adalah bukti pembohongan orang yang menyatakan dalam malam itu ada perkara yang tidak pernah kita lihat pada malam-malam lain sepanjang tahun. Oleh sebab kerahsiaannya, bukan semua orang beribadah sepanjang tahun mendapat Lailatul Qadar."
Ada yang menemui Lailatul Qadar hanya dengan beribadah tanpa melihat sebarang keganjilan. Ada pula sebahagian yang lain melihat keganjilan tanpa disertai ibadah. Dalam hal ini, sudah pasti orang beribadah walaupun tidak melihat sebarang keganjilan lebih utama kedudukannya di sisi Tuhan.
Sebahagian pendapat menyatakan salah satu ciri Lailatul Qadar adalah semua yang ada di bumi ini tunduk dan sujud kepada Tuhan. Sebahagian yang lain menyatakan pada malam itu, dunia terang benderang. Kita dapat melihat cahaya di mana-mana sahaja walaupun di tempat-tempat yang biasa gelap.
Ada yang menyatakan orang yang memperolehi Lailatul Qadar dapat mendengar salam dan percakapan malaikat. Ada pula yang menyatakan salah satu ciri Lailatul Qadar adalah doa orang yang diberikan petunjuk dikabulkan.

Artikel dipetik daripada Buku Keajaiban Ramadan tulisan Jaffar Siddiq terbitan PTS Millenia Sdn bhd.

No comments: